Tulisan Seorang Pelajar
Wednesday, April 22, 2015
Karangan - masalah gejala sosial dalam kalangan remaja
"Berikan
saya sepuluh orang remaja, nescaya akan saya gegarkan dunia ini,” begitulah
ungkapan yang pernah dilontarkan oleh bekas Presiden Parti Indonesia, Soekarno
yang menggambarkan betapa gahnya peranan remaja sebagai penentu pembangunan dan
kemajuan negara pada masa hadapan. Remaja pada hari ini yang bakal menerajui
pucuk pimpinan negara pada masa hadapan dan merupakan aset modal insan negara
bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Namun
kebelakangan ini, masalah sosial dalam kalangan remaja ini sering terpampang di
dada-dada akhbar sekaligus menambahkan kerunsingan terhadap Negara. Hal ini kerana
bakal menentukan nasib Negara di masa hadapan. Tidak dinafikan,pelbagai usaha
telah digembleng bagi mengatasi kemelut ini. Namun begitu, apakah punca kepada
kegagalan tersebut?
Sememangnya
tidak boleh dinafikan ibu bapa adalah pendorong utama bagi remaja untuk menjadi
seorang yang berguna kepada Negara. Namun apabila ibu bapa tidak dapat memberikan
perhatian kepada anak-anak ataupun masalah keluarga yang semakin mendominasi
keadaan membuatkan anak-anak menjadi tertekan di usia yang muda dan ingin mencari
ketenangan diluar sana namun telah memilih jalan hitam akibat daripada terpengaruh
dengan orang yang tidak bertanggungjawab. Disebabkan kekurangan kasih sayang keluarga,
remaja mencari keseronokan di luar dengan terlibat dengan gejala sosial seperti
gangsterisme, seks bebas, kes bohsia, hamil luar nikah yang diikuti dengan
pembuangan zuriat di dalam tong sampah, penderaan, rogol, sumbang mahram,
ketagihan dadah, hinggalah kepada mat rempit yang berpeleseran di luar sana.
Pengaruh
media massa juga menjadi salah satu punca penting yang menyebabkan remaja
telibat dalam masalah sosial. Di zaman yang pesat dengan kemajuan teknologi ini,
remaja sekarang mampu mendapatkan sebarang informasi dengan mudah tanpa sebarang
batasan. Namun yang apa yang membimbangkan adalah kesan negatif dari kemajuan
teknologi itu sendiri. Misalnya, hampir semua remaja pada era ini memiliki alat
permainan “video game” yang sesetengah permainan melibatkan remaja atau
seseorang itu untuk memainkan watak-watak sebagai pembunuh dan pengganas. Hal ini
nampak seperti hal remeh namun kerana benda sekecil ini sahaja mampu
mempengaruhi remaja melakukan perkara tersebut dalam dunia nyata dan berani mencederakan
orang sekeliling. Hal ini akan menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah
dalam negara. Justeru itu, di sebalik keseronokan yang terdapat pada teknologi
yang ada sekarang terdapat juga kesan-kesan yang boleh mengakibatkan seseorang
itu terlibat dalam gejala sosial.
Lahirnya
remaja yang berguna pada Negara dan masyarakat datangnya daripada sesebuah
institusi kekeluargaan yang harmoni dan bahagia. Oleh sebab itu, keruntuhan
akhlak dalam institusi kekeluargaan akan memberikan kesan yang besar ke atas
kebahagian dan keharmonian sesuatu institusi kekeluargaan itu. Akibat daripada
wujudnya ketidak harmonian dalam kekeluargaan, sesebuah kekeluargaan pastinya
akan berlakunya penceraian. Hal ini akan menjadikan masa depan anak-anak terbiar
dan tidak terpelihara, seterusnya hilang tempat bergantung dan bermanja.
Kesannya berlakunya masalah-masalah sosial yang lain seperti budaya lepak,
ketagihan dadah, gangesterisme, pelacuran, perjudian, hubungan sesama jenis dan
masalah-masalah yang lain.
Jatuh
bangunnya sesuatu negara, agama dan bangsa pada masa kini diukur dengan melihat
akhlak dan moral sesebuah masyarakat. Tidak dinafikan akhlak remaja pada hari
ini sangat membimbangkan masyarakat. Sekiranya hal ini tidak dibendung oleh
pihak–pihak yang tertentu, terutamanya oleh pihak kerajaan, maka tidak
hairanlah suatu hari nanti masyarakat kita akan hancur dan keruntuhan akhlak
remaja–remaja Melayu terutamanya akan rosak dan binasa. Namun begitu terdapat
kesan yang paling ketara yang akan dilihat kiranya akhlak remaja pada hari ini
tidak dibendung dengan segera. Masyarakat di negara ini akan menjadi
porak-peranda, berpecah-belah dan tidak bersatu-padu. Akibatnya perasaan buruk
dan prasangka akan wujud dalam masyarakat. Sifat saling curiga-mencurigai akan beraja
di hati masyarakat. Hal ini memberi kesan apabila berlaku pergaduhan dalam
masyarakat. Isu-isu perkauman akan wujud seandainya pergaduhan ini melibatkan
antara dua kaum. Sekaligus kadar jenayah dalam kalangan masyarakat juga akan
meningkat yang mana hal ini disebabkan oleh kadar keruntuhan akhlak di kalangan
remaja semakin meningkat.
Implikasi
utama terhadap negara jika gejala sosial tidak ditengani segera akan
menyebabkan negara akan kehilangan pelapis generasi kepimpinan pada masa
hadapan. Hal ini akan menjadikan kerancakan pembangunan negara akan terbantut
dan keadaan sosioekonomi negara menjadi lembap kerana wujudnya gejala sosial
dan keruntuhan akhlak yang tinggi di kalangan masyarakat. Perkara ini menjadikan
kadar jenayah dalam Negara meningkat sejajar dengan peningkatan gejala sosial sekaligus
meningkatkan kos perbelajaan kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah.
Seterusnya anasir-anasir luar akan meresap masuk kedalam negara sekiranya
generasi muda pada hari ini tidak tahu menjaga akhlak mereka. Dan, kesan paling
utama ialah remaja pada hari ini terutamanya akhlak remaja Islam akan hancur
dan rosak, maka pandangan bangsa lain terhadap agama yang kita anuti pada hari
ini tentulah serong dan buruk.
Peranan
ibu bapa jelas sekali merupakan solusi yang perlu diketengahkan dalam
membendung masalah sosial dalam kalangan remaja ini. Sebagai Ibu bapa adalah
menjadi tanggungjawab untuk memerhatikan setiap gerak-geri anak-anak mereka.
Ibu bapa perlu sentiasa mengetahui dan mengenal pasti masalah yang dihadapi
oleh anak mereka serta meluangkan masa untuk menyelesaikan masalah tersebut. Proses
ini sangat penting kerana ketika inilah ibu bapa dan anak-anak mereka dapat
bersatu hati sebagai sebuah keluarga. Situasi seperti ini akan membuatkan
anak-anak rasa disayangi dan tidak diabaikan oleh ibu bapa meskipun ibu bapa
sibuk dengan pekerjaan. Ibu bapa juga wajib mengetahui rakan-rakan anak mereka
dan memastikan anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan orang-orang ynag
baik dan berakhlak. Selain itu ibu bapa hendaklah menerapkan sikap positif
kepada anak-anak dalam menangani masalah, emosi dan keputusan. Agama jelas
sekali merupakan benteng yang akan menentukan sama ada baik atau buruk sesuatu
perkara itu. Justeru itu, anak-anak perlu diserapkan dengan pendidikan agama
sejak kecil lagi. Kata orang “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Kesimpulannya,
ibu bapa adalah role model kepada anak-anak bak kata pepatah Melayu “Kemana tumpahnya
kuah kalau tidak nasi”. Ibu bapa yang baik pasti akan melahirkan anak yang baik
juga.
Selain
itu, langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian hendaklah diadakan
seperti kaunseling di peringkat sekolah. Kaunseling di peringkat sekolah adalah
penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih
bermakna sekiranya kaunselor-kaunselor yang berkelayakan dan berpengalaman
dilantik dalam memantapkan pelaksanaan dan keberkesanan kaunseling tersebut. Mungkin
anak-anak tidak dapat perhatian sepatutnya di rumah. Oleh itu, sekolah adalah
satu medium yang baik buat remaja untuk mendapatkan perhatian daripada pihak
sepatutnya. Program seperti mentor-mentee sangat membantu pelajar bermasalah
untuk berubah. Apabila guru menunjukkan perhatian dan kasih sayang kepada anak
muridnya, pasti pelajar akan lebih bersemangat untuk belajar. Remaja itu
asalnya suci namun disebabkan pengaruh luar yang sangat mencabar itu mengganggu
dan merosakkan proses pembesaran dan pembelajaran remaja. Justeru itu, adalah
menjadi tanggungjawab guru-guru untuk membimbing pelajar ke arah kejayaan.
Remaja
adalah golongan yang sangat sukar dikawal. Mereka dipenuhi dengan sifat ingin
tahu yang sangat tinggi. Hal yang demikian menyebabkan mereka senang
terpengaruh dengan masalah sosial. Oleh itu, kita boleh mengambil inisiatif
tertentu dengan mencungkil bakat dan potensi dalam diri mereka. Hal ini akan
menyebabkan mereka lebih bermatlamat dalam hidup ini. Misalnya, pihak sekolah
boleh mengadakan aktiviti-aktiviti sukan yang membentuk sifat berdaya saing
secara sihat. Di samping itu, sekolah boleh mengadakan pertandingan bakat
seperti, pertandingan nyanyian, tarian, persembahan teater. Remaja di zaman generasi
alpha ini lebih tertarik dengan hiburan. Oleh itu, apa salahnya kalau bakat dan
minat ini diketengahkan. Bukankah lebih berbaloi daripada membiarkan mereka
menghancurkan Negara ini dengan masalah sosial yang ditimbulkan oleh mereka
sendiri. Dengan adanya inisiatif ini, tidak hairanlah kalau mereka akan menjadi
seseorang yang dibanggakan oleh Negara suatu hari nanti. Mereka mungkin sahaja
mampu menjadi idola sukan seperti Dato’
Lee Chong Wei yang telah menjadi perhatian dan sekaligus membawa nama Malaysia
setaraf dengan Negara maju yang lain.
Kesimpulannya, isu gejala sosial yang sering kita dengar
telah mendatangkan kebimbangan walaupun kita telah mengetahui punca kepada
masalah ini dan kita juga telah nampak kesan-kesan yang kita hadapi sekarang
seperti kes pembuangan bayi, mat rempit, pelacuran dan sebagainya tapi kita
masih tidak dapat mengatasi masalah ini walaupun kerajaan telah mengadakan
pelbagai kempen tapi masih tidak Berjaya. Persoalannya salah siapakah semua ini
berlaku. Walaupun kita menunding jari di antara satu sama lain sekalipun masalah
ini tidak akan selesai kerana kalau tiada kerjasama antara semua pihak, bagaimana
masalah sosial akan diatasi? Bak kata pepatah Melayu "bersatu kita teguh, bercerai
kita roboh". Ambillah iktibar daripada pepatah ini kerana pepatah bukan
sekadar pada nama tapi harus direnungkan bersama. Justeru itu, marilah
sama-sama kita membanteras masalah ini bersama tanpa menunding jari sesama sendiri.
Surat Rasmi - Memohon Pekerjaan
NURSYAFIQAH BINTI JAMAL
No. 60, Jalan Cemara 5,
SU1, Saujana Utama,
47000, Sungai Buloh,
Selangor Darul Ehsan.
Measat Broadcast Network Systems,
All Asia Broadcast Centre,
Technology Park Malaysia , Lebuhraya
Puchong-Sg. Besi,
57000 Bukit Jalil,
Kuala
Lumpur 20 APRIL 2015
TUAN / PUAN,
SURAT
PERMOHONAN PEKERJAAN DI SYARIKAT ASTRO
Merujuk perkara di atas, Saya
Nursyafiqah Binti Jamal adalah graduan daripada KPTM Batu Pahat dari jurusan
seni reka grafik. Saya ada terbaca iklan jawatan kosong di syarikat tuan
iaitu jawatan sebagai “junior graphic designer”.
2. Menurut
iklan tersebut, pihak tuan sedang mencari individu yang berkemahiran menggunakan
perisian grafik seperti adobe photoshop, adobe illustrator, adobe premier pro,
adobe indesign dan banyak lagi. Untuk pengetahuan tuan, saya telah mempelajari
semua perisian ini ketika mengambil diploma di KPTM Batu Pahat dahulu. Jadi
saya yakin saya mampu untuk mencuba nasib untuk jawatan ini. Saya seorang yang
berwawasan tinggi dalam melakukan sesuatu tugasan. Saya sukakan kelainan dan
mencuba sesuatu yang baru dan saya rasa itu adalah apa yang perlu ada dalam
diri seorang pereka grafik. Saya juga seorang yang jujur dan bertanggungjawab
dalam melaksanakan tugasan yang diberi.
3. Semasa cuti
semester, saya telah menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat pengiklanan
iaitu City Player Studio SDN BHD. Dengan menggunakan kemahiran yang ada sebagai
pelajar grafik, saya mampu memenuhi permintaan yang klien mahukan daripada
pasukan saya. Di sini saya telah banyak menimba ilmu dari senior yang lebih
berpengalaman dalam bidang ini. Saya juga telah belajar sedikit sebanyak
mengenai “tv commercial” dan “advertising” yang menjadi perkhidmatan dalam
syarikat itu. Mereka telah berjaya
membantu saya menjadi seorang yang boleh bertolak ansur dan bergerak sebagai
sebuah pasukan yang mantap.
4. Jika diberi
peluang, saya yakin bahawa saya dapat membantu syarikat tuan sebagai seorang
pereka grafik dan seterusnya dapat berkongsi idea-idea baru dalam bidang ini.
Saya juga yakin bahawa kemahiran yang ada ini boleh dipertingkatkan lagi dengan
bekerja bersama orang-orang yang lebih berpengalaman di syarikat tuan.
5. Sekiranya
saya diterima bekerja di sini, saya akan berusaha bersungguh-sungguh dalam
menaikkan nama syarikat tuan dan mengeluarkan idea-idea baru yang lebih segar
dan berlainan daripada yang sedia ada. Terima kasih di atas pertimbangan pihak
tuan dan jasa baik tuan amatlah dihargai.
Sekian, Terima
kasih.
Yang Benar,
..................................
(NURSYAFIQAH BINTI JAMAL)
Subscribe to:
Posts (Atom)